Wednesday, July 2, 2014

Islam dan cabaran modernisasi

Kedatangan Islam ke dunia telah memberikan satu kesan yang besar sehingga berjaya menolak corak hidup Jahiliyah dan memberi harapan baru transisi masyarakat arab dari zaman gelap ke zaman yang lebih menghormati norma-norma kehidupan bermasyarakat. Islam berkembang dengan cepat sehingga dapat menguasai al jazirah, al sham (jordan, lubnan, palestin dan syria), utara afrika, eropah, parsi serta asia dalam 50 tahun yang pertama. (Mohd Roslan Mohd Nor)

Pada zaman permulaannya iaitu ketika Nabi Muhammad s.a.w masih ada, persoalan-persoalan yang timbul dalam pelbagai aspek terus dirujuk kepada baginda. Generasi selepas baginda juga dijamin sebagai generasi terbaik. Pada ketika itu soal pemikiran Islam yang timbul boleh dijawab dengan baik kerana mereka adalah yang sangat hampir dengan sumber utama.

Sejarah Islam muncul di semenanjung arab pada kurun ke 17 masihi apabila Nabi Muhammad s.a.w mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w, kerajaan Islam berkembang sejauh lautan atlantik di barat, asia tengah dan timur. Lama kelamaan umat Islam berpecah ke serata dunia dan telah mencapai banyak kejayaan. Namun begitu, zaman kemerosotan empayar Islam mula mengalami kejatuhan dek serangan tentera mongol ke atas baghdad akibat kelemahan pemerintahan ketika itu lantas membawa Islam kepada zaman suram. Paksi kekhalifahan mula musnah dan dunia Islam mula berpecah. Islam ketika itu bukan sahaja lemah dari konteks empayarnya tetapi umat Islam juga mula mengamalkan Islam yang bercampur dengan amalan tradisi setempat. Pada kurun ke 18 dan 19 masihi, banyak kawasan-kawasan Islam telah jatuh ke tangan penjajah eropah dan barat, terutama di ambang kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang ditamatkan riwayatnya pada tahun 1924. Kejatuahan kerajaan Islam ini dikatakan ada kaitannya dengan cabaran sekularisasi yang berlaku ketika itu.

Selepas kejatuhan dunia Islam, Islam mula berdepan dengan cabaran sekularisasi, percampuran antara amalan Islam dan medernisasi dan telah memperlihatkan berlakunya pengasingan syariah dalam kehidupan manusia. Walaubagaimanapun kesedaran masyarakat Islam telah berjaya sedikit sebanyak menyekat unsur-unsur sekuralisasi ini daripada terus merebak. 

Pada abad ke 18, berkembangnya gerakan tajdid dan Islah. Tajdid yang membawa maksud perbaharui, bangkit semula atau "revive" telah melahirkan tokoh-tokoh mujaddid. Manakala gerakan Islah iaitu memperbaiki, memperbetulkan atau "reform" telah melahirkan tokoh-tokoh muslih. Peranan gerakan ini pada ketika itu adalah untuk menekankan kepada peneguhan amalan agama dan menjauhkan segala yang berten
tangan dengan akidah dan syariah Islam. Antara tokoh mujaddid dan Islah pada ketika itu adalah Nabi Muhammad s.a.w, Umar abd Aziz, Abu Hanifah, Imam Malik, Shafie, Hanbali, Al-Ghazali dan Ibn Taymiyah. Manakala tokoh mujaddid moden pula adalah seperti Ahmad Ibn Wahab, Shah Waliullah, Muhammad Abduh, Rashid Rida dan Hasan Al-Banna.

Hasan Al-Banna merupakan pengasas 
gerakan Islam Ikhwan Muslimin.

Permasalahan yang timbul pada umat Islam ketika itu adalah apabila mendepani cabaran modernisasi, dimana umat Islam pada ketika itu dilihat tidak berpegang kepada sepenuhnya kepada ajaran Islam yang asal, berlakunya amalan khurafat, unsur minstik, kepercayaan tahyul, bidaah dan sebagainya yang telah memesongkan akidah umat Islam ketika itu. Amalan sufisme yang ekstreem turut menjadi maslah ketika itu apabila masyarakat lebih menekankan kerohanian semata-mata dengan meninggalkan kehidupan duniawi.

Sikap terlalu fleksible dan liberal umat Islam pada ketika itu pula membawa kepada desakan untuk mentafsir semula terjemahan Al-Quran dan Sunnah seterusnya membawa kepada cabaran kolonialisasi dan sekularisme yang begitu teruk.

Tokoh-tokoh mujaddid seperti yang diperkatakan tadi telah memainkan peranan dalam mengajak umat Islam untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar, serta membentuk masyarakat yang tidak jumud, mundur dan lemah. Tokoh mujaddid berpendapat bahawa modernisasi bukanlah sesuatu yang haram dan dilarang, namun dalam membawa proses modernisasi itu, ia perlulah berlandaskan shariah Islam dan tidak melampaui batas-batas agama. Dalam masa yang sama, tokoh mujaddid turut mengkritik golongan ulama' duniawi yang tidak memainkan peranan yang sepenuhnya lantas pada ketika itu wujud gerakan untuk menyedarkan pemerintah untuk kembali kepada ajaran dan pemerintahan Islam yang sebenar.

Cabaran modernisasi Islam membawa kepada pemikiran liberalisme dalam Islam. Ia telah muncul pada abad ke 18 kesan daripada pengaruh liberalisme agama yang berkemnbang di barat pada abad ke 16 dan 17. Idea yang mendokong liberalisme ini adalah bermula dengan munculnya penulisan buku dari Charles Kurzman pada tahun 1988 yang bertajuk "Liberal Islam : A Source Book" dan juga penulisan oleh Leonard Binder pada tahun 1998 bertajuk "Islam Liberal : A Critique of Development Ideologies". Walaupun buku ini mula terbit pada tahun 1998, namun idea dan gerakan yang mendokong liberalisasi ini telah dikatakan muncul terlebih awal seperti dari gerakan modernisasi Islam dan gerkan sekularisasi dan sebagainya.

Antara tokoh pemikir yang mendokong Islam Liberal adalah seperti Syed Ahmad Khan, Kasim Ahmad, Fazlur Rahman, Amina Wadud, Harun Nasution dan lain-lain lagi. Pendokong-pendokong gerkaan Islam Liberal ini kemudian bertindak membuka serta mewujudkan jaringan organisasi mereka sendiri untuk menggerakkan agenda mereka iaitu dengan menubuhkan pertubuhan-pertubuhan seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, Sister In Islam (SIS) di Malaysia, Woman Aid Organisation (WOA), Islamic Interfaith (IFC), Islamix Renaissance Front (IRF) serta lain-lain lagi.

Amina Wadud, bekas pensyarah UIA 
sedang mengimamkan solat jemaah yang bercampur lelaki perempuan.

Menurut Syeikh Abdullah Al-Khatib dalam kitabnya, menjelaskan bahawa golongan yang berfikiran bebas seperti Islam Liberal ini mempunyai agenda mereka yang tersembunyi. Iaitu yang pertama, menggugurkan agama secara sepenuhnya daripada masyarkat iaitu memisahkan agama daripada pendidikan dan menjauhkan syariat Islam daripada kedudukannya sebagai sumber perundangan serta mengasaskan ekonomi atas dasar riba. Kedua, mereka ini dikatakan ingin menjauhkan fikrah atau pemikiran manusia daripada setiap yang mempunyai kaitan dengan roh, wahyu dan alam ghaib daripada segala ikatan dengan akhlak, akidah dan keimanan kepada Allah. Dan yang ketiga, mereka semata-mata memartabatkan ketuanan akal, kebendaan dan ketidakpercayaan kepada agama dan wahyu dalam urusan kehidupan. Islam hanya sebagai rohani dan menolak untuk dibawa ke cara hidup.

Respon golongan intelektual Islam terhadap ciri-ciri pemikiran liberal dalam Islam pula yang jelas telah mengambil dua tokoh yang pertama Syed Naquib Al-Attas dan Khalif Muammar. Menurut Syed Naquib Al-Attas, ciri pemikiran Islam liberal itu dimana berlakunya kebergantungan semata-mata kepada akal bagi menjalani kehidupan dunia, pemikiran dualisme dalam memahami pelbagai realiti kehidupan dan kebenaran, wujudnya kebebasan dalam pelbagai realiti kehidupan dan kebenaran, wujudnya kebebasan dalam berfikir yang membawa kepada sudut pandang sekular dan terakhir memperlihatkan doktrin humanisme dimana segala-galanya berpusat kepada penilaian dan kebebasan pemikiran manusia semata-mata.

Manakala menurut Khalif Muammar, beliau memperlihatkan ciri Islam liberal itu seperti timbulnya pemikiran rasionalisme dan sekularisme yang bebas, berlakunya penolakan terhadap syariah, mengamalkan pluralisme agama yang menganggap semua agama adalah sama, berlaku penolakan terhadap otoriti agama dan institusi agama, kebebasan dalam mentafsir teks agama seperti Al-Quran dan Hadis, fahaman relativisme iaitu keputusan berdasarkan individu atau keadaan semasa dan memperjuangkan aliran feminisme yang mendesak hak kesamarataan wanita, menolak poligami, menolak hukum Islam dan pelbagai desakan lain.

Isu sambutan hari Valantine day, Marina Mahathir perlekeh Mufti

Respon golongan Intelektual Islam terhadap pemikiran liberal dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu yang modernis ekstreem dimana mereka menerima aliran liberalisme sebagai satu ruang yang membolehkan umat Islam berubah, maju, menyesuaikan diri dengan cabaran modernisasi, sekularisasi dan globalisasi. Manakala golongan pejuang revivalis Islam menolak dan menentang sepenuhnya Islam liberal yang dilihat terang bertentangan dengan ajaran Islam selain menolak agama dan menganut fahaman kebebasan untuk berijtihad dan menganggap siapa pun layak untuk melakukan ijtihad iaitu menentukan hukum semasa yang dihadapi dalam Islam. Kebebasan berijtihad ini menyebabkan Islam liberal mendesak agar dilakukan tafsiran semula Al-Quran dan menganggap tafsiran ulama' dahulu sebagai lapuk, kolot dan ketinggalan. Pendekatan mereka ini akan membawa kepada banyak amalan dan pembaharuan yang bertentangan dengan syariat Islam yang sebenar. Pandangan golongan ini mengatakan bahawa sunnah Rasulullah s.a.w hanya sesuai untuk masyarakat Islam zaman Raslullah sahaja dan ketinggalan zaman sekiranya dipraktikkan pada zaman lain. 

Golongan Islam liberal menolak hukum perundangan Islam dimana mereka menganggap ianya sebagai bertentangan dengan hak asasi manusia. 

Secara kesimpulannya, tuntutan dan dasar yang diperjuangkan oleh golongan Islam liberal ini secara jelas telah menolak syariat Islam dan dilihat telah terpesong dari landasan agama Islam yang sebenar. Kebebasan dan keterlaluan dan konsep pluralisme agama dilihat boleh menyebabkan ianya terpesong dari prinsip Islam yang sebenar. Atas alasan tersebut, maka kebanyakan golongan intelektual Islam menolak gerakan Islam liberal ini.

******

Rujukan :

  • Mohd Roslan Mohd Nor, Menangani Cabaran Umat Islam Era Moden
  • Notes on Kuliyyah of Evolution of Philosophy and Thought, UKM 2014

#4 Ramadhan 1432





No comments:

Post a Comment