Saturday, December 28, 2013

Malaysia Diakhir Usia 2013.


Salam penghujung tahun. Dalam beberapa hari sahaja lagi Tahun 2013 akan melabuhkan tirainya. Peristiwa-peristiwa sepanjang tahun 2013 akan ditutup dan kekal menjadi sejarah negara. Daripada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13), Perhimpunan Blackout 505, Jerebu teruk di Malaysia, Pencerobohan lahad datu, Isu penggunaan kalimah Allah, Kes pembunuhan tembak menembak, Isu pelaksanaan GST, dan penutupnya seperti tahun-tahun yang lepas juga, bencana banjir di semenanjung Malaysia.

Pada penghujung tahun 2013, sekali lagi rakyat Malaysia dikejutkan, yang kali ini bukan dengan bencana banjir buruk sahaja, malah dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak lantas dilihat menaikkan kos sara hidup rakyat Malaysia yang kini telah mencecah 28.3 juta penduduk.

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dimaksudkan adalah meliputi kenaikan harga petrol, kenaikan harga air, kenaikan harga elektrik, kenaikan harga bahan mentah (gula), kenaikan harga TOL, kenaikan cukai pintu, kenaikan tambang pengangkutan awam (LRT), kenaikan harga langganan ASTRO, kenaikkan tambang bas sekolah, serta tidak dilupakan bebanan GST yang akan berkuatkuasa pada April 2015.

Walaupun barang dan perkhidmatan yang disenaraikan tersebut ada yang belum lagi dinaikkan kos nya pada tahun ini, namun! perancangan itu sudah ada dan telah dilafazkan niat untuk dinaikkan oleh pihak kerajaan. Isu yang timbul disni, mengapa? dan apakah? punca disebalik kesemua kenaikan yang mendadak ini? bukan kah prinsip sesebuah kerajaan itu adalah sebagai payung yang menjaga kebajikan rakyat atau berperanan sebagai aktor utama negara dalam mengurus urusan negara dengan baik?. Ini tidak, apabila ditegur, terus rakyat pula dihalau pergi ke negara yang dirasakan lebih baik dari Malaysia. Sedih bukan? lantas tertanya-tanya lah kita apa yang dimaksudkan dengan slogan "rakyat didahulukan" yang dilaung-laungkan Perdana Menteri sekitar kemuncak pilihan raya 5 mei 2013. 

Kini, jelas lagi bersuluh, pemimpin "tersebut" telah menipu rakyat nya. Mereka mahukan kuasa semata-mata.

Sedih melihat keadaan pahit getir rakyat dan pembangunan Malaysia pada masa kini. Bagi rakyat "biasa", sukar bagi kita untuk memahami hakikat pertumbuhan ekonomi yang sebenar, pembangunan negara dan kesannya kepada taraf hidup dan hubungan antara pertumbuhan dengan pengagihan. Kita sebagai rakyat tidak terperinci berkaitan semua gerak kerja ini. Bahkan sebenarnya masyarakat tidak perlu fasih dalam bidang ekonomi mikro dan makro, cukup dengan penjelasan yang baik dan menyeluruh, kerana urusan besar ini telah diberikan tanggungjawab-nya kepada pemimpin yang memerintah. Amanah ini diberi oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum yang lepas, dengan andaian mereka lebih bijak dan arif untuk mengagihkan sumber dan kekayaan negara secara adil kepada rakyat yang dipayungi nya. Nyata kini, apa yang diharapkan melalui itu semua juga! telah menyimpang jauh.

Gerakan Turun Kos Sara Hidup - TURUN

Sebuah gerakan anak muda yang menggerak kesedaran berpaksikan kesengsaraan rakyat yang diberi nama Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN!). Saudara Azan Safar yang menjadi pengerusi gerakan ini berkata, "TURUN sama sekali tidak terlibat dalam agenda Himpunan Guling Kerajaan dan TURUN sentiasa menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara kita". 

Azan Safar bukan lah nama asing bagi gerakan-gerakan aktivisme, malah beliau ini sudah dikenali ramai khususnya golongan Mahasiswa. Dan saya rasa yang "menyemarakkan" lagi Pilihan Raya Kampus UKM pada oktober yang lepas adalah beliau juga. Dalam kerumunan penyokong, saya sempat berdiri disebelah Azan safar dan melihat sendiri secara dekat raut wajah pejuang aktivis ini. Dan pada 31 Disember 2013 yang akan datang, saudara Azan Safar akan memimpin gerakan TURUN untuk berhimpun di Dataran Merdeka bagi meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan dalam mengurus tadbir pemerintahan negara khususnya dalam menangani kenaikan kos sara hidup rakyat.

Slogan "2014, Tahun Kesengsaraan Rakyat" dijadikan sebagai tema gerakan ini. Pada pandangan saya, ianya kelihatan sebuah slogan yang sedikit "kasar" bunyinya, mungkin hanya sekadar ayat pembangkit rasa dan pembangkit semangat untuk TURUN! barangkali. Namun ada baiknya juga, kerana slogan itu menggambarkan perasaan yang begitu jujur.

Meyakini bahawa perhimpunan pada malam tahun baru nanti akan dikerumuni dengan pertembungan pelbagai NGO, seperti TURUN, bahkan rakyat marhaen sekalipun, dan yang lebih drastik kumpulan yang memberi gelaran "Himpunan Guling Kerajaan", tentu sekali akan mencetuskan suasana "meriah" dengan laungan-laungan rakyat, poster-poster menarik yang dibawa oleh penunjuk perasaan dan sorakkan yang secara keseluruhannya memberi gambaran bahawa matlamat mereka semua adalah sama! iaitu menunjukkan rasa marah terhadap kerajaan Malaysia dan boleh dianggap sebagai "amaran awal tahun" dari rakyat kepada kerajaan. Walaupun berpuluh laporan polis telah dilakukan oleh NGO "keamanan" kononya bagi menghalang perhimpunan ini dan menggesa pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap individu yang berhimpun, namun perhimpunan ini pastinya akan terus dilaksana. Maka penutup tahun 2013 nanti masyarakat bukan sahaja dijamu dengan ambang percikkan bunga api, malah dijamu juga dengan perhimpunan rakyat.

Namun disebalik semua ini, saya percaya ia sama sekali tidak akan mengubah struktur pemerintahan negara. 5 Prinsip rukun negara bukan sahaja dihafal, tetapi perlu-lah dihayati dan sentiasa lah kita menghormati sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Walaupun Indeks Demokrasi telah mengukur tahap demokrasi Malaysia dan meletakkan kita di tangga ke-64, (jauh lebih rendah berbanding negara Timor Leste!) namun, kita sebagai rakyat juga punya kuasa sebagai ejen untuk mengubah demokrasi tempang di negara kita sendiri. Justeru itu, pemimpin yang memegang tampuk kuasa diberi peringatan! agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak-lah memandang erti Demokrasi itu hanya pada musim Pilihan Raya sahaja, yakni 15 hari berkempen dan 1 hari untuk mengundi bahkan, pegang lah demokrasi itu dengan rasa penuh amanah dan tanggungjawab untuk mengatasi semula kelemahan dan segala ketidakseimbangan sosial ataupun yang lebih jelas, mengotakan janji semasa PRU 13. 











2 comments:

  1. wah, aku rasa macam baca ruangan kolum di akhbar sahaja. Boleh jadi wartawan.

    ReplyDelete
  2. persediaan esei 5 helai kertas utk sem depan yana...

    ReplyDelete